Tuesday, September 26, 2023

Prosedur Perkahwinan Warga Asing

 Assalamualaikum

Semalam saya borak dengan kawan sekerja,sembang-sembang kosong bertanyakan status permohonan perdaftaran perkahwinannya bersama seorang warga negara Singapura.

Duk sembang, bertanya la jugak susah  ke tak prosedur dan proses permohonan tersebut. Dipendekkan cerita, dapat la ilmu sedikit mengenai proses permohonan tersebut.

Saya ceritakan dalam bentuk point form lagi senang kot nak faham.

1. Pertama sekali, bakal suami kawan saya ni perlu membuat pengesahan status di pejabat agama di negaranya. Disebabkan beliau orang Singapura, maka permohonan dilakukan dipejabat agama di Singapura. Pejabat agama tersebut juga akan mengeluarkan surat kebenaran nikah diluar negara kepada warganegaranya.

2.Setelah selesai urusan di pejabat agama di Singapura, pengesahan tersebut hendaklah di hantar ke kedutaan Singapura di Malaysia untuk diproses.

3. Setelah selesai step ke-2, surat yang sama perlu dibawa ke Wisma Putra  (Kompleks Kementerian Luar Negeri) untuk pengesahan sekali lagi.

4.Bila dah dapat semua surat dan dokumen balik dari Wisma Putra, maka surat itu hendaklah di bawa ke pejabat agama tempat pengantin bermastautin.

5.Setelah dapat kelulusan, barulah pejabat agama akan keluarkan surat untuk membuat pengesahkan keluar/masuk (imigran larangan atau tidak) di pejabat Imigresen Negeri.

6.Akhir sekali, bila dah dapat pengesahan dari pihak imigresen,barulah pejabat agama akan keluarkan surat kebenaran bernikah di Malaysia.

Dalam masa proses diatas, bolehlah buat persiapan lain seperti mengambil ujian HIV dan lain-lain prosedur yang diperlukan.

Disebabkan kawan saya penjawat awam, beliau wajib minta kebenaran berkahwin dari Ketua Pengarah kami. Prosesnya mengambil masa selama 2 bulan. Maksudnya hantar permohonan lebih awal lagi baik. Tapi saya tak pasti, adakah kebenaran berkahwin dengan warga asing dari ketua pengarah melibatkan semua jabatan atau tidak. Kena la rujuk ketua jabatan masing-masing ya.

Apapun, prosedur perkahwinan sangat penting untuk diikut jika tak nak masalah di kemudian hari. Memang la leceh dan memenatkan, tapi itu adalah sebahagian undang-undang yang perlu dipatuhi.

Pada yang berminat untuk berkahwin dengan warga asing, jangan ambil mudah prosedur perkahwinan ya. Jika tak lengkap, anak yang akan jadi mangsa keadaan nanti..

Sekian coretan hari ini



Monday, September 25, 2023

Cuti Tanpa Gaji (Kemudahan Menjaga Anak)

Assalamualaikum,

Hari ini kita study sikit berkenaan cuti tanpa gaji. Saya memilih untuk berkongsi cuti tanpa gaji menjaga anak bersama kawan-kawan semua diluar sana. Saya telah pun dengan jayanya menghabiskan cuti ini dan berehat selama 5 tahun dirumah. 😆

Kadang-kadang rasa rugi jugak amil cuti ini sebab kekananan saya hilang. Walaubagaimana pun berbaloi melihat anak membesar di depan mata dan dapat menyusukan anak secara eksklusif.

Berbalik kepada topik asal, kita tengok apa kelayakan utama cuti tanpa gaji menjaga anak nie? Kemudahan yang sangat bagus untuk ibu-ibu yang bekerja dan ingin meluangkan masa bersama si comel dirumah tanpa perlu berhenti kerja.

Kelayakan cuti tanpa gaji menjaga anak ialah wajib bersambung dengan CUTI BERSALIN. Cuti tanpa gaji tersebut boleh dimohon sehingga 5 tahun sepanjang perkhidmatan. Boleh rujuk pekeliling JPA ya.

(Pekeliling Perkhidmatan Bil 15 Tahun 2007) 

(Surat Pekeliling Perkhidmatan bilangan 14 Tahun 2007) 

(Pekeliling Perkhidmatan Bil 5 Tahun 2014 :Kemudahan Cuti Menjaga Anak)

Sebenarnya cuti 5 tahun tersebut boleh diambil secara berperingkat dan mengikut keperluan masing-masing. Jika merancang untuk mempunyai keluarga yang besar, boleh la rancang lebih awal supaya cuti tidak habis digunakan dan dimanfaatkan sepenuhnya.

Cuti tanpa gaji menjaga anak yang diambil,  boleh dipanjangkan atau dipendekkan cuti tersebut. Cuma jika dipanjangkan cuti mestilah tidak melebihi 5 tahun.

Sebagai contoh, Cuti dimohon ialah selama 2 tahun. Tetapi, apabila sudah tiada keperluan untuk bercuti, pemohon boleh membuat surat rasmi kepada ketua jabatan memohon memendekkan cuti selama mana yang perlu.

Begitu juga, jika ingin memanjangkan cuti. Sebagai contoh, permohonan cuti selama 2 tahun, dan kemudian, ada keperluan untuk menyambung cuti kepada 3 tahun atas sebab-sebab tertentu. Pemohon boleh membuat surat rasmi kepada ketua jabatan untuk menyambung cuti, dengan syarat pemohon masih lagi bercuti (belum masuk keja lagi).

Walaubagaimanapun, berbincanglah dengan ketua jabatan masing-masing. Biasanya tiada halangan dipihak atasan kerana pekeliling yang dikeluarkan adalah dari Suruhanjaya Perkhidmatan Awam sendiri.

Ada juga cuti yang disediakan oleh kerajaan untuk menjaga anak dan tidak bersambung dengan cuti bersalin. Tapi nanti kita bincang di next topic ya. 

Jadi ibu-ibu kawan-kawan semua, rancanglah sebaiknya kemudahan yang diberikan oleh kerajaan kepada kita. 

Good Plan, Good Life

Semoga bermanfaat.



Sunday, September 24, 2023

Pengalaman Tuntutan Teknikal Di Tribunal Perumahan

Gembira dapat kunci rumah baru, tapi bila check, ada defect. Biasa la, kena isi borang defect list, pastu tunggu pemaju baiki. Tapi pemaju lambat baiki sampai dah setahun lebih, setahun lebih tak dapat duduk umah baru, ansuran bank still kena bayar lepas dapat kunci. Tempoh warranty rumah 2 tahun je (bkn strata). Bila pemaju saja lambat2 baiki, lepas 2 tahun, warranty hilang camtu je.

Akhirnya, saya buat aduan di tribunal perumahan diPutrajaya. Siapa duduk dekat senang la, tapi kalau jauh dari Kelantan ke, sabar je la.
TAPI sebelum failkan aduan, pembeli rumah sila ikut step di bawah dulu yea.
1. Bawa contractor anda, check balik semua defect. Jika ada defect baru, isi borang defect list, bagi pemaju semula. Bagi pemaju tempoh masa untuk baiki. < 15 hari
2. Sila catat semua defect dengan teliti dan ambil gambar semua defect. 
<ini sangat penting>
3. Minta contractor bagi anggaran harga baiki defect (kalau lebih RM50K, kena buat aduan ke mahkamah sivil, bukan tribunal perumahan)
4. Buat 4 salinan gambar, anggaran harga, borang defect list, S&P dan etc2. (Sila semak soalan lazim di website tribunal kpkt.gov.my untuk dokumen yang diperlukan)
5. Lepas tu baru pergi tribunal untuk isi borang aduan. Pastikan apabila anda isi borang, jangan MISS satu pon defect yea. Kalau x, nanti xboleh tuntut dengan pemaju di mahkamah tribunal
6. Staff Tribunal akan beritahu apa yang perlu anda buat selanjutnya selepas hantar borang.
Lepas tu tunggu surat dari tribunal untuk tarikh pendengaran @ court hearing (biasanya dalam sebulan) atau check online di website kpkt.gov.my.
Ada aduan tidak akan diterima tribunal kalau tuntutan adalah hak bersama (common facilities) atau melibatkan legal issues.

Saya bagi contoh:
1.    Hak Bersama - Dalam brochure ada tertulis apartment anda dilengkapi kolam renang awam. Apabila apartment siap, xde kolam renang awam. Pembeli tak boleh buat aduan sendiri di tribunal. Kalau nak juga, kena panggil semua penduduk apartment tu buat aduan. Tapi kalau buat kolam renang, kos mesti lebih RM50K kn? so sila buat aduan di mahkamah sivil sebab limit tribunal RM50K
2.    Legal Issues - rumah dah siap dapat CCC & VP (vacant possesion) tapi anda sebagai pembeli tak boleh nak duduk. Jalan raya tak ada, sistem parit tak ada, etc2. Kes nie kena bawa ke mahkamah sivil sebab bidang kuasa tribunal terhad. Bila CCC keluar, maksudnya arkitek (badan professional), majlis bandaran (pihak berkuasa) dah setuju rumah tersebut boleh diduduki. Something fishy la kalau CCC dah dapat tapi rumah tak boleh duduk. So, mahkamah sivil saja boleh ambil tindakan terhadap pihak berkuasa dan pemaju.

So, balik pada pengalaman saya, kali pertama ke court tribunal, presiden @ hakim akan tanya dahulu kedua2 pihak (pembeli dan pemaju) mengenai aduan. Lepas tu presiden akan suruh pihak teknikal dari tribunal perumahan sendiri verify balik defect tu.
Kena tunggu skali lagi, kali nie surat dari pihak teknikal tribunal untuk beritahu tarikh untuk check rumah anda. Masa pihak teknikal tribunal datang check rumah nanti, pihak pemaju pun akan datang sekali.
Time ni penting defect list tadi, kalau ada defect baru yang tidak terlulis di dalam borang aduan, pihak teknikal x ambil kira. Tugas pihak teknikal tribunal utk verify aduan pembeli & membuat anggaran harga untuk baiki defect.
Selepas tu, saya tunggu lagi untuk pihak teknikal siapkan laporan (30-70 day). Lepas laporan siap, surat tribunal akan sampai ke pembeli utk beritahu tarikh pendengaran utk kali ke -2.
Saya pergi dan dapat claim dalam RM20K untuk defect rumah saya. Semasa dalam court, pemaju bertegas untuk baiki defect, tapi saya x setuju kerana dah lebih setahun tak baiki, kenapa sekarang baru nak terhegeh2? Keputusannya, presiden berpihak pada pembeli, so padan muka pemaju.
Harap info nie berguna..

Perkahwinan dengan Rakyat Asing?

 Assalamualaikum,

Sebelum ini saya ada sebut mengenai kepentingan pendaftaran anak untuk mendapatkan hak kerakyatan kan. Wajib ada butiran lengkap bahawa bayi tersebut dilahirkan oleh warganegara Malaysia dan bukannya warga asing.

Bagi mereka yang memilih untuk berkahwin dengan warganegara asing, ada perkara yang perlu dilakukan bagi mengelakkan masalah di masa hadapan.

Hari ini saya nak bercerita mengenai taraf kerakyatan anak. Kenapa kadang-kadang kita dengar ada yang dapat kerakyatan dan ada yang tidak.

Mengikut perlembagaan persekutuan, anak yang lahir dan ayahnya bertaraf warganegara berhak mendapat  kerakyatan Malaysia secara automatik. Jika anak tersebut dilahirkan diluar negara dan ayahnya adalah warga asing, anak tersebut tidak berhak mendapat kerakyatan secara undang-undang atau automatik walaupun ibunya adalah rakyat Malaysia. Tetapi jika anak tersebut lahir di Malaysia,  anak itu berhak mendapat kerakyatan Malaysia.

Penin ke? ..

Mudahnya :

LAHIR DI DALAM DAN LUAR NEGARA:

Warganegara Malaysia (AYAH) + Warganegara Asing (IBU) = WARGANEGARA

LAHIR DI LUAR NEGARA

Warganegara Malaysia (IBU) + Warganegara Asing (AYAH) = WARGANEGARA ASING

LAHIR DI DALAM NEGARA

Warganegara Asing (AYAH) + Warganegara Malaysia (IBU) = WARGANEGARA PILIHAN

 ( Boleh pilih kerakyatan ibu atau ayah)

Tetapi baru-baru ini, ada cadangan pindaan di dalam perlembagaan persekutuan, dimana jika ibu atau bapa ialah rakyat Malaysia, si anak boleh mewarisi kerakyatan tersebut secara automatik, dan kabinet telah pun bersetuju. Tapi belum masuk parlimen lagi.

Isi penting topik har ini ialah PERKAHWINAN.

Apapun alasan, perkahwinan wajib BERDAFTAR  DAN MENGIKUT UNDANG-UNDANG MALAYSIA. 

Jika kawin bawah pokok atau kawin koboi....Hak Kerakyatan mengikut AYAH memang tinggal sejarah. 

INGAT YA!

Sekian Sahaja topik hari ini, TQ😊

 



Sunday, September 17, 2023

KEPENTINGAN PENDAFTARAN KELAHIRAN

Assalamualaikum,

Pernah tak dengar atau ambil tahu mengenai isu stateless ? 

Dimana seseorang yang tinggal di negara kita tetapi tidak mendapat iktiraf kerakyatan dari mana-mana negara.

Makcik-makcik, pakcik-pakcik dok tanya kenapa la kerajaan kejam sangat tak bagi kerakyatan kat bayi atau baby yang tak berdosa yang baru lahir ke dunia nie......... sedangkan mak pak dia orang Malaysia.

Meh, saya cerita apa yang saya tahu ya....😀

Untuk mendapatkan kerakyatan Malaysia perlu ada beberapa perkara yang perlu dibuat oleh pak mak baby yang baru lahir tue.

Hat nombor satu kena buktikan anak tue memang dilahirkan oleh orang Malaysia, bukan orang asing atau warga asing.

Sebab tue la ibu-ibu bila buat checkup dekat klinik kerajaan kena buka buku pink sebagai bukti mengandung.Kalau checkup dekat klinik luar pun, masih di beri buku mengandung dan ada dinyatakan maklumat lengkap di ibu.

Jadi bila dah cukup waktu bersalin dan melahirkan anak, hospital akan bagi bukti si ibu dah selamat melahirkan baby dalam bentuk dokumen, atau senang cerita bertulis. Kalau tak ada perakuan bersalin dari hospital memang Pendaftaran tak akan layan okey.

Seterusnya, dah ada dokumen tue semua,si ayah atau penjaga ibu tau Wakil bolehlah mendaftarkan kelahiran tersebut di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Bawa la sekali lampiran yang diperlukan ya. Biasanya hospital dah maklum awal-awal apa yang perlu dibawa untuk urusan pendaftaran anak tersebut.

Kesahnya...macam mana boleh jadi stateless?  Puncanya apabila mak ayah tak buat Pendaftaran anak di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan dokumen/bukti  kelahiran yang sah hilang. Jadi, anak-anak ini la yang akan hilang  kelayakan untuk menjadi warganegara yang sah di sisi undang-undang. 

Kalau daftar lambat macam mana pulak ya? Boleh je daftar lambat tapi kena la sediakan duit dendanya ya. 
Jangan bising-bising dekat JPN  bila kena bayar denda ya.

Kalau ibu ayah warga asing macam mana pula ya? Bagi warga asing sama jer, kena daftar macam biasa di JPN, tapi anaknya tetap la jugak akan ikut kerakyatan mak paknya kerakyatan. Kalau orang Indonesia lahirkan anak di Malaysia, anak tetap la jugak warganegara Indonesia.

Jadi...Kalau pak atau mak seorang warga Malaysia dan seorang warga asing.... macam mana pulakk ?

Saya sambung nanti ya.....😄

Salam Jumpa lagi

Prosedur Perkahwinan Warga Asing

 Assalamualaikum Semalam saya borak dengan kawan sekerja,sembang-sembang kosong bertanyakan status permohonan perdaftaran perkahwinannya ber...